Sekilas Ilmu Hadits
Hadis jika dilihat dari segi thuruq (jalur riwayatnya) terbahagi kepada mutawatir dan ahad.
Hadis mutawatir ialah hadis yang memenuhi empat syarat berikut ini. Pertama,
ia diriwayatkan oleh sekumpulan orang yang ramai jumlahnya. Kedua, menurut
kebiasaan, mereka mustahil bersepakat dalam kebohongan. Ketiga, mereka
meriwayatkannya melalui orang yang sama kedudukannya mulai dari permulaan
hingga ke bahagian akhir. Keempat, hendaklah musnad terakhir dari para
periwayat berstatus hasan (baik).
Hadis ahad ialah hadis yang di dalamnya terdapat kecacatan pada salah satu
syarat mutawatir. Hadis ahad dapat memberikan faedah yang bersifat zhanni dan
adakalanya dapat memberikan pengetahuan yang bersifat nazhari (teori) apabila
disertai dengan bukti yang menunjukkan kepadanya.
Hadis ahad pula terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu sahih, hasan dan dha‟if.
Hadis sahih ialah hadis yang diriwayatkan oleh orang yang adil, memiliki
dhabt (hafalan) yang sempurna, sanadnya muttasil (bersambung dengan sanad
berikutnya), tidak mu‟allal (cacat) dan tidak pula syadz (menyendiri). Istilah „adil
yang dimaksudkan di sini ialah adil riwayatnya, yakni seorang muslim yang telah
aqil baligh, bertakwa, dan menjauhi semua dosa besar. Pengertian adil ini
mencakupi lelaki, wanita, orang merdeka dan hamba sahaya. Istilah dhabth ialah
hafalan. Dhabit ada dua; pertama, dhabt shadr yang bermaksud orang yang
bersangkutan hafal semua hadis yang diriwayatkannya di luar kepala dengan
baik; kedua, dhabth kitab yang bermaksud orang yang bersangkutan memelihara
pokok hadis yang dia terima daripada gurunya dari sebarang perubahan.
Mu‟allal ialah hadis yang dimasuki oleh suatu „illat (cacat) yang tersembunyi
hingga memaksanya perlu untuk diteliti yang lebih mendalam. Syadz ialah hadis
yang tsiqah (orang yang dipercaya) berbeza dengan orang yang lebih tsiqah
daripadanya.
Hadis hasan ialah hadis yang diriwayatkan oleh orang adil, hafalannya kurang
sempurna, tetapi sanadnya muttashil, tidak mu‟allal, tidak pula syadz. Jika hadis
hasan ini kuat kerana disokong oleh adanya satu jalur atau dua jalur riwayat yang
lain, maka kedudukannya naik menjadi sahih li ghairihi.
Hadis dha‟if ialah hadis yang peringkatnya di bawah hadis hasan dengan
pengertian kerana di dalamnya terdapat kecacatan pada salah satu syarat hasan. Jika
hadis dha‟if menjadi kuat kerana disokong oleh adanya jalur riwayat yang lain atau
oleh sanad yang lain, maka kedudukannya naik menjadi hasan li ghairihi.
Hadis sahih dan hadis hasan boleh diterima, sedangkan hadis dha‟if ditolak dan
oleh kerananya, ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah kecuali dalam masalah
keutamaan beramal, tetapi dengan syarat status dha‟if hadis tersebut tidak terlalu
teruk, permasalahan yang diketengahkan masih termasuk ke dalam pokok syariat
dan seseorang yang mengamalkannya tidak meyakininya sebagai perkara
yang telah ditetapkan oleh agama, melainkan tujuan mengamalkannya hanyalah
mengambil sikap hari-hati dalam beramal.
Pembahagian Hadis (B)
Hadis jika dilihat dari periwayatnya terbahagi kepada masyhur, „aziz dan gharib.
Hadis masyhur ialah hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih,
tetapi masih belum memenuhi syarat mutawatir. Kadang kala istilah ini diucapkan
kepada hadis yang telah terkenal hingga menjadi buah bibir meskipun ia hadis
maudhu‟.
Hadis „aziz ialah hadis yang diriwayatkan oleh dua orang periwayat sahaja,
meskipun masih dalam satu thabaqah (tingkatan). Sebab jumlah periwayat yang
sedikit pada kebanyakannya boleh dijadikan pegangan dalam bidang ilmu ini.
Hadis gharib ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang periwayat sahaja,
meskipun masih dalam salah satu thabaqah. Hadis gharib terbahagi kepada dua
macam, iaitu; pertama, gharib muthlaq iaitu hadis yang menyendiri dalam asal
sanadnya; kedua, harib nisbi iaitu hadis yang menyendiri pada sanad berikutnya.
Pembahagian Hadis (C)
Selain itu hadis terbahagi kepada dua bahagian, iaitu maqbul dan mardud.
Hadis maqbul ialah hadis yang dapat dijadikan hujah. Ia adalah hadis yang di
dalamnya dipenuhi syarat-syarat hadis sahih atau hadis hasan. Hadis maqbul
terbahagi kepada empat bahagian, iaitu sahih li dzatihi, sahih li ghairihi, hasan li
dzatihi, dan hasan li ghairihi.
Sahih li dzatihi ialah hadis yang diriwayatkan oleh periwayat yang adil,
sempurna hafalannya, muttasil sanadnya, tidak mu‟allal dan tidak pula syadz.
Sahih li dzatihi ini memiliki tingkatan yang berbeza-beza menurut perbezaan sifat
yang telah disebutkan tadi.
Sahih li ghairihi ialah hadis yang paling sedikit mengandungi sebahagian
daripada sifat yang ada pada hadis maqbul, tetapi di dalamnya ditemui perkara-
perkara yang dapat menyempurnakan kekurangannya itu, misalnya ada hadis yang
sama diriwayatkan melalui satu atau banyak jalur selainnya.
Hasan li dzatihi ialah hadis yang dinukilkan oleh seorang yang adil, memiliki
hafalan yang kurang sempurna, muttasil sanadnya, diriwayatkan melalui
orang yang sama tingkatan dengannya, tidak mu‟allal dan tidak pula syadz.
Hasan li ghairihi ialah hadis yang masih perlu diteliti penerimaannya, tetapi
telah dijumpai di dalamnya faktor-faktor yang menguatkan untuk menerimanya
seperti hadis yang di dalam sanadnya terdapat orang yang keadaannya masih belum
diketahui atau orang yang buruk hafalannya.
Hadis maqbul pula terbahagi kepada muhkam, mukhtalaf al-hadis, nasikh dan
rajih.
Muhkam ialah hadis yang tidak ada hadis lain yang menentangnya.
Mukhfalaf ialah hadis yang didapati ada hadis lain yang menentangnya, tetapi
masih ada kemungkinan untuk menggabungkannya.
Nasikh ialah hadis yang datang kebelakangan dan isinya menentang hadis
yang seumpama dengannya.
Rajih ialah hadis yang boleh diterima, namun isi kandungannya menentang
hadis seumpamanya yang mendahuluinya kerana adanya satu sebab yang
mengharuskan demikian, sedangkan usaha untuk menggabungkan di antara
keduanya adalah tidak mungkin. Lawan daripada rajih ialah marjuh.
Hadis mardud ialah hadis yang di dalamnya tidak dipenuhi syarat-syarat sahih
dan tidak pula syarat-syarat hasan. Hadis mardud ini tidak boleh dijadikan sebagai
hujah. Ia terbahagi kepada dua bahagian; pertama, mardud kerana adanya
keguguran pada sanadnya; kedua, mardud kerana adanya kecacatan pada diri para
periwayatnya. Hadis mardud kerana adanya keguguran pada sanadnya terbahagi
kepada lima, iaitu mu‟allaq, mursal, mu‟adhdhal, munqathi‟ dan mudallas.
Mu‟allaq ialah hadis yang dari permulaan sanadnya gugur seorang periwayat.
Termasuk ke dalam hadis mu‟allaq adalah hadis yang seluruh sanadnya dibuang.
Mursal ialah hadis yang dinisbahkan oleh seorang tabiin terus kepada Nabi
(s.a.w)
Mu‟adhdhal ialah hadis yang gugur daripadanya dua orang periwayat secara
berturut-turut.
Munqathi‟ ialah hadis yang gugur daripadanya seorang atau dua orang
periwayat, tetapi tidak berturut-turut.
Mudallas ialah hadis yang terdapat keguguran di dalamnya, tetapi tersembu-
nyi, sedangkan ungkapan riwayatnya menggunakan istilah „an (daripada). Con-
tohnya, seseorang menggugurkan nama gurunya lalu menukil daripada orang yang
lebih atas daripada gurunya dengan menggunakan ungkapan yang seolah-olah
memberikan pengertian kepada si pendengar bahawa itu dinukil secara langsung
daripada orang yang di atas gurunya itu; contoh ini disebut dengan mudallas al-
isnad. Ada ketikanya nama gurunya itu tidak digugurkan, sebaliknya gurunya itu
digambarkan dengan sifat yang tidak dikenali; contoh seperti ini disebut sebagai
mudallas al-syuyukh. Ada ketikanya dia menggugurkan seorang periwayat dha‟if
di antara dua orang periwayat yang tsiqah (terpercaya); contoh ini disebut
sebagai mudallas al-taswiyah.
Hadis mardud kerana adanya kecatatan terbahagi kepada empat, iaitu:
maudhu‟, matruk, munkar dan mu‟allal.
Maudhu‟ ialah hadis yang periwayatnya berdusta di dalam dalamnya.
Matruk ialah hadis yang cacatnya disebabkan oleh periwayat yang dicurigai
sebagai orang yang berdusta.
Munkar ialah hadis yang cacatnya kerana kebodohan si periwayatnya atau
kerana kefasikannya.
Mu‟allal ialah hadis yang cacatnya disebabkan oleh aib yang tersembunyi,
tetapi zahirnya selamat dan tidak menampakkan aib.
Syadz ialah hadis yang seorang periwayat tsiqah bertentangan dengan
periwayat yang lebih tsiqah daripadanya. Kebalikan hadis syadz ialah hadis
mahfuzh, iaitu hadis yang seorang periwayat tsiqah bertentangan dengan hadis
periwayat lain yang status tsiqah-nya masih berada di bawahnya.
Pembahagian Hadis (D)
Hadis jika dilihat dari segi matan dan sanad terbahagi kepada marfu‟, mauquf,
maqthu‟, „alin muthlaq, „alin nisbi dan nazil.
Marfu‟ ialah hadis yang disandarkan kepada Nabi (s.a.w), sama ada secara te-
rang-terangan ataupun secara hukum.
Mauquf ialah hadis yang sanadnya hanya terhenti kepada seorang sahabat
tanpa adanya tanda-tanda yang menunjukkannya marfu‟, sama ada secara ucapan
mahupun perbuatan.
Maqthu‟ ialah hadis yang sanadnya hanya terhenti kepada seorang tabi‟in.
„Alin muthlaq ialah hadis yang bilangan periwayatnya sedikit jika diban-
dingkan dengan sanad yang lain, dan sanadnya sampai kepada Nabi (s.a.w),
lawannya hadis „alin muthlaq adalah hadis nazil muthlaq.
„Alin nisbi ialah hadis yang periwayatnya sedikit apabila dibandingkan de-
ngan sanad yang lain dan berakhir kepada seorang imam yang terkenal, seperti
Imam Malik, Imam al-Syafi‟i, Imam al-Bukhari, dan Imam Muslim. Lawannya
ialah hadis nazil nisbi, tetapi hadis „alin nisbi lebih mendekati sahih kerana
kemungkinan kesalahannya masih sedikit, berbeza dengan hadis nazil nisbi. Hadis ini
tidak disukai melainkan kerana ada keistimewaan khusus yang ada padanya.
Komentar
Posting Komentar